Tips Menangani Anak Tantrum

Tips Menangani Anak Tantrum

“Opah..Yuh…”

Dua nama yang tidak lekang dari mulut si kembar, Auni & Amni apabila pulang dari taska. Dua insan itu adalah pengasuh mereka sebelum saya terpaksa berpindah ke tempat lain. Hampir setahun Auni & Amni dijaga oleh Opah dan Kak Ros. Bermula daripada umur mereka 8 bulan sehingga umur mereka 1 tahun 8 bulan. Setelah berpindah ke tempat lain, saya dan suami memilih untuk menghantar mereka ke taska.

Pada hari pertama, mereka begitu gembira kerana dapat ramai kawan dan dapat bermain banyak mainan. Tetapi, pada hari seterusnya, mereka mula menangis apabila saya ingin meninggalkan mereka untuk pergi ke tempat kerja. Terpaksa saya keraskan hati dan meninggalkan mereka yang sedang menangis. Menurut pengasuh yang menjaga, mereka mula berhenti menangis apabila saya meninggalkan mereka.

Ketika saya mengambil mereka mula, mereka akan melompat-lompat kegembiraan melihat ummi mereka datang. Apabila nampak ummi, air mata mereka mula mengalir. Mungkinkah mereka marahkan ummi tinggal mereka? Maafkan ummi, anak-anak ummi sayang.

Apabila pulang ke rumah, mereka mudah menangis dan suka melakukan sesuatu untuk menarik perhatian. Sebagai contoh, mereka akan menumpahkan air di lantai, mencampakkan barang, berebut sesama mereka dan bermacam-macam lagi. Tahukah anda kepada anak-anak anda melakukan demikian? Bukanlah kerana mereka anak yang nakal, tetapi mereka sedang melepaskan perasaan dan ingin mendapat kasih sayang anda.

Pernah dengar perkataan ‘Tantrum’? Tantrum seringkali disalahertikan sebagai anak nakal. Anak kecil, mereka tidak tahu bagaimana untuk mengekspresikan perasaan mereka, jadi mereka akan meluahkannya dari segi perbuatan. Istilah anak nakal selalu diberikan kepada anak yang selalu menangis, membuang barang, mengacau adik beradik lain malah mereka suka membuat sesuatu perkara supaya di marahi. Awas, hati-hati ya kerana mereka sebenarnya cuba menarik perhatian anda.

Apa yang perlu dibuat apabila anak-anak tantrum?

  •  Ibu bapa perlu sabar dan bertenang

Walau penat macam mana pun anda di tempat kerja, cubalah untuk mengawal emosi anda ketika berada di rumah.

  • Senyum & Peluk Anak

Ambil masa sekejap untuk memeluk anak sambil tersenyum kepadanya. Pandang ke dalam matanya dan beritahu kita sangat menyayanginya.

  • Bercakap dengan lembut

Jangan sesekali menengking anak anda. Tegurlah mereka dengan suara yang lembut. Tegur dengan baik, bukan dengan penuh perasaan marah yang meluap-luap yang terbayang di mata kita. Kesian si kecil, mereka belum mengerti perbuatan mereka itu.

  •  Berikan perhatian sepenuhnya

Tiba masanya untuk kita mengurangkan masa kita dengan handphone, letakkan handphone di tepi dan bermainlah dengan anak-anak. Buat mereka ketawa dan buat mereka rasa disayangi.

Love,
Irni Suhana Muhamad

014 515 7141

irnisuhana@gmail.com